Followers

| |

Monday, August 16, 2010

Sajak "Guru oh Guru"

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

0 comments:

Post a Comment

Laman Blog Sains Sekolah Rendah ini diwujudkan Khas untuk guru-guru Sains Sekolah Rendah. Anda dipelawa untuk berkongsi apa-apa bahan dan pautan yang berkaitan dengan P&P Sains Sekolah Rendah. Oleh itu sekiranya Guru-guru yang mempunyai apa-apa bahan berkaitan Mata Pelajaran Sains atau Panitia Sains (sptr ;- Bahan P&P, Rancangan Tahunan, Sukatan Pelajaran, PEKA, Soalan Peperiksaan, Soalan Ujian bulanan dll) bolehlah dikumpulkan di laman blog ini. Semoga blog ini menjadi satu laman bagi guru-guru sains untuk memuat turun pelbagai bahan sains & berkongsi pandangan bersama-sama. Sila emailkan bahan tersebut ataupun emaikan link (URL) ke primaryscience@ymail.com

* Sekiranya terdapat ketidaksesuaian ayat, kesalahan atau kesilapan bahasa dan sebagainya terhadap bahan yang terdapat pada blog ini, diharap diperbetulkan sendiri.

Related Posts with Thumbnails